 |
gambar hiasan |
Jaundis adalah masalah yang kerap dialami oleh bayi baru lahir. Jika bayi
anda mengalami jaundis, anda tidak perlu risau, tetapi adalah baik bagi anda
memberitahu pakar pediatrik anda, terutamanya jika abdomen atau kaki bayi anda
kelihatan kuning. Jika bayi anda berkulit gelap, mata putihnya, tapak tangan
atau kakinya akan berwarna kuning.
Punca
Jaundis terjadi pada bayi yang sihat apabila darahnya mengandungi bilirubin
yang berlebihan. Bilirubin ialah satu bahan kimia yang dihasilkan semasa
penguraian normal sel darah merah. Bayi yang baru lahir cenderung mempunyai
tahap bilirubin yang lebih tinggi sebab mereka mempunyai sel darah merah
tambahan yang mengangkut oksigen dan didapati kadang-kala hepar mereka yang
masih baru tidak boleh memetabolismekan bilirubin yang berlebihan itu. Apabila
tahap bilirubin meningkat lebih daripada normal, kekuningan jaundis akan
bergerak dari kepala ke bawah, ke tengkuk, dada dan dalam kes teruk, ia akan
sampai ke jari-jari kaki. Jaundis seperti ini yang dikenali sebagai jaundis
fisiologi, selalunya tidak menyebabkan kerosakan pada bayi yang sihat (berbeza
daripada jenis yang lebih serius dan luar biasa yang disebabkan oleh penyakit
hepar atau penyakit resus).
Dalam keadaan yang sangat jarang berlaku, bayi baru lahir yang menghidapi
jaundis akan mengalami kerosakan sistem saraf tetapi ini berlaku hanya apabila
bilirubin berada pada tahap yang terlalu tinggi. Kira-kira 50 peratus bayi yang dilahirkan cukup bulan akan mengalami jaundis
pada hari kedua atau ketiga selepas kelahiran. Pada kebiasaannya jaundis akan
hilang selepas seminggu. 80 peratus bayi tidak cukup bulan akan menghidapi
jaundis di antara lima hingga tujuh hari selepas kelahiran. Biasanya ia akan
hilang dua bulan selepas kelahiran.
Merawat Jaundis
Jika anda menyusukan bayi, anda perlu menyusu bayi dengan kerap. Anda mungkin
perlu mengejutkan bayi anda daripada tidur untuk menyusukannya. Masa ini anda
akan perlukan banyak rehat, air mencukupi, makanan dan sokongan yang banyak. Jika bayi anda diberikan susu badan, dia tidak perlu diberikan sebarang
cecair lain seperti susu formula atau air sebab penyusuan ibu yang kerap akan
memulihkan jaundis.
Jika bayi anda menghidapi jaundis yang teruk atau kelihatan tidak sihat,
doktor mungkin menjalankan ujian darah pada bayi anda untuk mengukur aras
bilirubinnya. Doktor juga perlu melihat punca jaundis jika ia bermula selepas
tujuh hari atau berlarutan sehingga lebih 14 hari. Sesetengah bayi mungkin memerlukan rawatan fototerapi. Jadi, bayi anda perlu
berada di hospital dan lampu cahaya biru akan diletakkan di katilnya. Cahaya ini
akan membantu memecah bilirubin berlebihan supaya hepar dapat membuangnya. Kesan
sampingan fototerapi termasuklah ruam dan cirit-birit tetapi ini penting untuk
penguraian bilirubin. Bayi-bayi yang memerlukan rawatan fototerapi perlu berbaring tanpa pakaian
atas katilnya dan dipancarkan cahaya biru dari lampu. Ini akan menjejaskan
penyusuan ibu dan pertalian ibu dengan bayinya. Satu alternatif selain
fototerapi tradisional adalah terapi gentian optik. Bayi anda akan dibalut
dengan selimut khas yang mempunyai gentian optik, yang menyebabkan cahaya kecil
bersinar terus pada kulit bayinya. Bagi rawatan ini anda masih boleh mendakap
dan menyusu bayi anda. Namun begitu, rawatan gentian optik tidak efektif seperti
fototerapi tradisional pada bayi yang dilahirkan cukup bulan. Pengalaman
setempat juga menunjukkan bahawa kadang-kala rawatan gentian optik menjadi
terlalu panas untuk bayi pramatang. Namun begitu, apabila digunakan bersama
fototerapi tradisional, rawatan gentian optik adalah yang paling efektif bagi
bayi menghidapi jaundis. Ada juga terdapat kes jaundis disebabkan jangkitan dan
ini memang perlu dirawat.Bayi yang mempunyai penyakit resus mudah menghidap jaundis. Tetapi penyakit
ini amat jarang berlaku. Wanita hamil akan selalu membuat pemeriksaan darah
untuk mengelakkan resus dan anda akan tahu jika anda resus negatif. Darah bayi
anda juga akan diperiksa dan suntikan anti-D akan diberikan semasa kelahiran.
Ada juga berlaku (walaupun amat jarang) bagi bayi yang menghidapi jaundis akibat
penyakit resus, dirawat melalui pemindahan darah.
Ujian
Pakar-pakar mencadangkan ujian ringkas di rumah untuk memeriksa jaundis.
Dapatkan bilik yang mempunyai cahaya secukupnya dan tekan dengan perlahan pada
hidung atau dahi bayi anda; jika terdapat warna kuning pada kulit semasa tekanan
dilepaskan, hubungi ahli pediatrik anda. Teknik ini amat bagus bagi kanak-kanak
yang berkulit cerah; jika bayi anda berkulit gelap, caranya adalah dengan
memeriksa warna kekuningan pada mata putih atau gusinya. Anda juga akan dapati
bahawa najis bayi anda berwarna pucat. Ingatlah, jaudis adalah penyakit biasa dan selalunya bersifat sementara. Ia
akan pulih dengan cepat tanpa sebarang campur tangan dan tidak mempunyai kesan
jangka panjang. Anda boleh bertanya kepada ahli pediatrik anda untuk bantuan
sekiranya ada sebarang keraguan. Ia boleh menjadi bahaya. Jangan ambil ringan mengenai jaundis. Kajian telah
menunjukkan bahawa jika lebihan bilirubin melepasi satu tahap, pendengaran bayi
anda akan terjejas. Pada tahap yang paling tinggi, otak juga akan terjejas dan
kondisi ini dikenali sebagai kernicterus.